
The feeling of being minority
Tak tahu la zaman sekarang, ini jadi topik besar. Maybe dah jadi trend orang Melayu masuk sekolah Cina.
Zaman 90an dulu, tak ramai orang Melayu yang nak masuk SJKC.
Dalam situasi saya, keluarga kami memang ada objective jelas kenapa hantar saya ke sekolah Cina. Kami datang dari latar belakang keluarga bisnes. Waktu tu kebanyakan dunia perniagaan memang banyak dikuasai orang Cina. Circle bisnes keluarga saya pun majoritinya orang Cina termasuk partner-partner bisnes mak ayah saya.
Jadi bagi keluarga saya waktu tu, belajar Mandarin bukan sebab “prestige” atau nak compare sekolah. Dia lebih kepada kepentingan untuk masa depan.
Antara perkara menarik pasal sekolah Cina yang saya masih ingat sampai hari ni:
- Bab buku teks.
Zaman saya dulu di SRJKC, kami tak ada skim pinjaman buku teks macam sekarang. Semua buku kena beli sendiri. Atau sebenarnya kami tak layak, tak pasti. Macam takda ja SPBT tu.
- Budaya derma.
Memang sekolah Cina kuat mohon derma. Tapi cara dia teratur dan “bermaruah”. Ada pakej-pakej sumbangan. Sekiranya derma besar, nama penderma akan dipaparkan dekat dewan sekolah.
Dua projek besar yang saya masih ingat masa saya sekolah dulu:
• Pembukaan bilik siber komputer
• Pembinaan Dewan Pei Chun
Bila dah besar baru saya faham, budaya derma ni sebenarnya kuat dalam komuniti Cina sebab mereka memang ada semangat ownership pada sekolah.
Lain-lain kutipan lebih kurang sama macam sekolah kebangsaan juga rasanya. Saya boleh compare sebab kakak-kakak saya selain kakak ketiga sekolah kebangsaan.
- Cara belajar.
Bagi saya, pembelajaran lebih kurang sama saja. Cuma sekolah Cina memang banyak tugasan.
Semua kerja rumah akan ditulis di papan hitam. Jadi bila cikgu lain nak tambah tugasan, dia boleh nampak tugasan subjek lain dah berapa banyak.
6 ke 7 tugasan sehari tu biasa.
Sekiranya tak siap kerja, memang bersedia kena rotan. Masa tu, budak-budak siap kena fikir strategi:
“Kerja cikgu mana nak siapkan dulu supaya kurang kena rotan esok?”
Sekiranya cikgu nama dia Liew Lao Shi, saya siapkan kerja dia dulu. Sebab dia memang rotan tak belas kasihan. Paling “baik” pun dia bagi pilih nak rotan nipis atau tebal.
Tengok budak menangis kena rotan hampir tiap-tiap hari tu normal masa zaman kami. Merotan tu macam sebahagian daripada budaya sekolah waktu tu.
Tapi bila dah dewasa baru saya faham kenapa ramai budak sekolah generasi lama ni tahan pressure kerja. Sebab dari kecil memang dah hidup dalam environment tekanan tugasan dan accountability.
- Sifir matematik.
Antara benda yang saya paling terbawa sampai hari ni ialah sifir matematik Mandarin memang laju.
Sebab suku kata Mandarin pendek.
Contoh:
“tiga darab empat sama dengan dua belas”
Dalam Mandarin:
“san si, shi er”
Bila pendek, lebih cepat hafal dan lebih laju disebut.
- Pendidikan agama.
Sekiranya tak silap, sekolah kebangsaan zaman 90an dah ada Pendidikan Islam.
Di SJKC pula, pelajar Melayu akan digabungkan dari darjah 1 sampai 6 untuk kelas Fardu Ain seminggu sekali.
Contohnya setiap Rabu, sejam lebih kami akan diasingkan untuk belajar agama. Itu pun rasanya inisiatif PPD. Sekiranya tak dibuat, mungkin memang tak belajar agama langsung di sekolah.
Tapi bab agama ni biasanya kami cover balik di sekolah agama sebelah petang.
- Sukan.
Bola sepak dan sepak takraw bukan sukan popular di sekolah saya. Tak pasti sekolah lain macam mana.
Sekolah Cina lebih cenderung kepada Ping pong, Badminton dan Bola keranjang. Ping pong dan badminton ok, bola keranjang saya biasa diketepikan sebab tak cukup inci. hahaha…
- Hubungan sosial.
Bab ni susah sikit nak explain. Suasana dia lebih bebas.
Budak lelaki dan perempuan biasa duduk sebelah-sebelah, pegang tangan pun dianggap normal masa kecil-kecil tu.
Masa saya kecil, memang confuse juga.
Di sekolah agama, salam atau sentuh perempuan kena marah. Tapi di sekolah Cina, benda tu biasa saja.
Bila dah besar baru faham perbezaan budaya dan cara didikan. Cuba bayang la, sekolah pagi bercampur sakan. Di sekolah petang, “Asalamualaikum ustaz, baik ustaz”. Berselisih dengan pelajar perempuan, jalan pandang bawah. 😅
- The feeling of being minority.
Bila keluarga saya minta saya pakai seluar panjang ke sekolah cina, terasa betul saya ni minoriti. Obvious sangat kami berbeza.
Tapi inilah feeling paling mahal sebenarnya. The feeling of being minority.
Kita tak faham benda ni selagi kita tak pernah jadi minoriti.
Bila dah dewasa baru saya faham, bila kita ni majoriti, kita mudah sangat nak impose cara hidup kita dekat orang lain sebab kita rasa benda tu normal.
Masa kecil dulu, memang susah nak jawab soalan-soalan kawan,
“Kenapa tak makan babi?”
“Kenapa tak boleh pegang anjing?”
“Kenapa kena pakai seluar panjang?”
Nak explain dekat budak sekolah rendah, masing-masing pun belum faham lagi.
Bagi saya, rasisme belum wujud bila dua-dua pihak sebenarnya belum faham sempadan budaya dan kaum.
Contoh yang saya masih ingat sampai sekarang:
Seorang kawan makan biskut bentuk babi. Dia nak bagi saya makan. Saya cakap saya tak makan babi.
Dia jawab:
“Ini biskut bentuk babi. Bukan babi betul.”
Saya kata tak boleh makan.
Dia tanya:
“Kenapa?”
Saya pening nak jawab, jadi saya cakap:
“Saya takut babi dan imej babi”.
Dia gelak. Saya pun gelak.
Lepas tu dia macam tak percaya saya takut “biskut babi”, jadi dia kejar saya satu sekolah nak suap biskut tu. Saya pun lari sambil gelak-gelak.
Sekiranya zaman sekarang ada video, confirm viral dengan caption:
“Budak Melayu dipaksa makan babi di sekolah Cina.”
Padahal masa tu dua-dua budak tak faham apa pun pasal sensitiviti kaum. Kami cuma budak-budak yang tengah bermain.
Saya ulang, tiada rasisme dalam kepala kanak-kanak.
- Cikgu dan perhatian pada pelajar.
Ada orang kata cikgu sekolah Cina tak tunggu pelajar yang lemah. Entah la. Pengalaman saya tak macam tu.
Memang cikgu garang. Tapi mereka ambil berat.
Subjek yang kita lemah biasanya akan dapat perhatian lebih. Saya sendiri banyak kali dapat personal coaching dekat library masa rehat.
Sebab saya jarang pergi kantin. Takut babi kan tadi? hahaha…. Jadi waktu rehat saya duduk library dan cikgu akan ajar personal.
Lagi dekat UPSR, lagi bersungguh mereka follow up.
Siap ada buddy system. Saya dipasangkan dengan seorang kawan untuk belajar sama-sama.
Cuma masalahnya zaman tu Nintendo dan Sega tengah popular. Balik sekolah pergi rumah kawan main game lebih daripada belajar.
Saya masih ingat saya rapat dengan Sim Jing Cherng. Selalu pergi rumah dia main game. Kami ada momen kena ganti tape nintendo yang hilang, pinjam dari rakan melayu saya. Sampai hari ni rasa bersalah kat Jing Cherng.
Sebab kami sure memang kami dah pulang kat budak tu. Yela benda bukan macam library pulang buku ada bukti. Tape nintendo ni pula mahal, kalau hilang atau rosak tape, kes macam ini boleh sampai mak ayah pun masuk campur.
Taknak gaduh panjang. Kami split, keluarga saya bayar separuh, keluarga Jing Cherng bayar separuh kat budak tu. Tahi sungguh rasa kena hukum bila kita sebenarnya tak bersalah.
- Bab bahasa dan akademik.
Ada yang kata budak Melayu akan struggle teruk selama 6 tahun di SJKC. Bagi saya, tak betul.
Biasanya susah setahun pertama saja sebab belum faham bahasa.
Masuk darjah dua, kebanyakan dah lancar.
Saya sendiri darjah dua dah ok. Ada budak Melayu lain lagi cepat, 6 bulan dah boleh ikut.
Lagi senang sekiranya dari tadika Cina macam kakak saya.
Yang mungkin susah sikit cuma penulisan Cina sebab kena guna berus dan dakwat hitam. Itu lebih kepada seni bagi saya.
Matematik guna sempoa pun sebenarnya tak susah.
Apa eh yang susah? Macam tak ada kot.
Sekiranya rajin belajar, medium bahasa bukan isu besar.
Sekiranya malas, kasi Bahasa Melayu pun susah.
Bila saya fikir balik, benda paling bernilai yang saya dapat dari sekolah Cina bukan semata-mata bahasa Mandarin.
Tapi peluang untuk melihat dunia dari posisi minoriti ketika kecil.
Sebab bila kita pernah jadi minoriti, kita jadi lebih berhati-hati bila berada di posisi majoriti.
Kita kurang rasa dunia mesti ikut cara kita.
Dan mungkin sebab itu juga, sampai hari ini saya percaya banyak konflik kaum di Malaysia sebenarnya bukan sebab benci.
Tapi sebab masing-masing tak pernah betul-betul hidup dalam dunia orang lain.
#TitipanBruceWayne
09/05/2026 by Hafiz Muridan on FB